Petikan Akhbar Kosmo: Naik basikal keliling dunia

Berikut merupakan petikan akhbar bagi aktiviti kesukaan ku. Berbasikal mengembara dunia. Inspirasi ini merupakan sebuah impian yang menjadi kenyataan. Banyak pengalaman dan kisah yang akan tercatit semasa mengembara menggunakan basikal. Jadi anda macamana? ada impian untuk mengembara menggunakan basikal????

Dua warga Iran mengayuh basikal mengelilingi dunia selama enam bulan bagi menyempurnakan satu misi.




'IA merupakan sebuah kawasan pedalaman dengan jalan yang berlubang dan berbatu-batan. Sekilas pandang, kelihatan bayangan penduduk kampung sedang menangis melihat mayat-mayat orang kesayangan mereka terdampar di atas jalan raya akibat mati kebuluran.
"Tangisan dan jeritan kanak-kanak kedengaran sehingga suasana hiba menyelubungi kampung itu kerana anak-anak kecil kehilangan ibu bapa dan gagal memperoleh makanan, mahupun minuman. Ketika itu seorang kanak-kanak berlari ke arah saya. Dia menghulurkan tangannya untuk meminta bantuan."
Begitulah mimpi aneh yang membuatkan Abdollah Mesbah terkejut dan terus terjaga seketika daripada tidur lena di kediamannya di Tehran, Iran.
Mimpi tersebut dialaminya dua hari sebelum beliau bersara sebagai pegawai tentera pada bulan Jun lalu.
Selepas itu, Abdollah menemui seorang rakan lamanya. Dalam pertemuan itu, beliau menceritakan mengenai mimpi luar biasa yang dialaminya sekali gus meluahkan hasrat untuk melakukan sesuatu bagi membantu kanak-kanak yang tidak bernasib baik.
Namun tidak disangka mimpi itu menjadi sumber inspirasi bagi lelaki berusia 55 tahun ini untuk mencipta sejarah mengelilingi dunia dengan berbasikal. Sepatutnya pada usia itu beliau berehat di rumah bersama keluarga ataupun melancong ke luar negara.
Itu adalah kisah yang disampaikan oleh Abdollah ketika membuka bicara bersama rakan lamanya, Keramat Azizzadeh, 39, yang berada di Kuala Lumpur baru-baru ini dalam misi berbasikal mengelilingi dunia dari Turki sejak 8 Oktober tahun lalu.
Kedua-duanya ditemui dalam satu pertemuan khas bersama Kosmo! di Universiti Malaya.
Abdollah bersama Keramat bakal meneruskan kayuhan ke Singapura, China, India dan beberapa negara Eropah sebelum dijangka sampai ke Iran pada Mac ini.
"Jika saya memberitahu anda bahawa saya mahu mengelilingi dunia dengan berbasikal, pasti ia menjadi bahan gurauan atau saya dianggap gila. Kebanyakan orang yang ditemui menganggap hasrat itu bagaikan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
"Tetapi kami bernasib baik kerana keluarga, rakan-rakan dan kerajaan memberi sokongan padu. Pihak kerajaan juga bangga dengan semangat kami yang mampu mengharumkan nama Iran di mata dunia," kata lelaki yang tidak fasih berbahasa Inggeris ini.

"SANGGUP mengeluarkan belanja sendiri kira-kira RM34,000 bagi menjayakan misi ini."



Justeru, temu bual ini terpaksa diadakan dengan bantuan seorang rakan mereka yang telah lama menetap di Kuala Lumpur.
Sebaik sahaja membuat keputusan mengenai pengembaraan ini, Abdollah dan Keramat menyampaikan cadangan misi besar itu kepada Persekutuan Kayuh Basikal Iran pada bulan Julai lalu.
Dalam pertemuan itu, pihak persekutuan tersebut bersetuju untuk membantu menguruskan prosedur memperoleh kebenaran dari negara-negara yang bakal mereka jelajahi bagi mengelakkan sebarang masalah.
Setelah segala urusan selesai, tanggal 8 Oktober lalu yang merupakan Hari Kanak-kanak Sedunia, Abdollah dan Keramat memulakan kembara mereka dengan mengayuh basikal ke tujuh buah negeri di seluruh Iran.
Antara bandar yang disinggahi mereka ialah Tehran, Gazvin, Guilan, Ardabil, Zanjan, Tabriz dan Ouromieh.
Sepanjang penjelajahan selama 15 hari itu, mereka singgah di beberapa destinasi tumpuan warga Iran untuk menghebahkan mesej perjuangan hak asasi kanak-kanak selain menyuarakan pendapat mengenai bahaya kanser yang boleh mengundang kematian.
Selepas berjaya menempuh kayuhan yang cukup mencabar itu, misi mereka diteruskan ke Turki.
Ketika mahu meneruskan penjelajahan ke benua Eropah, dua pengayuh ini menghadapi masalah untuk memperoleh visa dan kebenaran berbasikal di sekitar benua tersebut.
Krisis ekonomi dan fenomena cuaca iaitu musim sejuk yang melanda negara-negara tersebut membuatkan mereka melepaskan hasrat menjejaki benua yang indah dan kaya dengan tradisi dan alam semula jadi itu.
Senario yang sama menimpa mereka sekali lagi apabila Abdollah dan Keramat tidak diizinkan berkayuh di negara India dan Pakistan akibat krisis politik dalaman.

"DUA warga Iran yang kini sedang dalam kembara mengelilingi dunia dengan berbasikal menunjukkan kain rentang mengenai misi mereka di Kuala Lumpur."



Pihak kerajaan di kedua-dua negara itu khuatir insiden malang akan menimpa mereka sehingga menjejaskan hubungan diplomatik dengan Iran.
"Walaupun menghadapi halangan yang melambatkan misi yang dijadualkan berakhir pada Mac ini, namun ia tidak melunturkan semangat kami. Malah, Keramat memberi idea untuk mengembara ke Thailand.
"Dengan mengayuh basikal Damavand, jenama terkenal di Iran, dan memikul beg besar seberat 50 kilogram yang diisi dengan barang keperluan harian, perkakasan dapur, alat-alat teknikal dan lain-lain lagi, kami berbasikal di seluruh bandar raya Bangkok," ujar Abdollah yang memberitahu, cita-citanya mengelilingi dunia timbul setelah beliau membaca kisah-kisah pengembaraan Ibnu Batuta, Colombus dan Genghiz Khan.
Menurut Abdollah, ketika mereka berada di Bangkok, berlaku insiden di mana sekumpulan penduduk tempatan telah merompak beg dan melarikan telefon bimbit serta kamera beresolusi tinggi.
"Apabila tiba waktu solat, saya dan Keramat berhenti di sebuah masjid di bandar berkenaan. Saya meminta bantuan beberapa penduduk tempatan yang berada berhampiran tempat ibadah itu untuk menjaga barang-barang kami.
"Selesai solat, kami terkejut mendapati kedua-dua beg telah dicuri manakala telefon bimbit, kamera beresolusi tinggi dan sedikit wang tunai turut hilang," jelasnya yang terpaksa membeli semula telefon bimbit kerana gagal menghubungi keluarga dan pihak kedutaan Iran.
Sementara itu, Keramat yang merupakan seorang pengusaha restoran meneruskan bicara.
Bagi menjayakan misi besar ini, beliau yang mengusahakan sebuah restoran di bandar Astara di utara Iran sanggup mengambil cuti selama enam bulan serta melepaskan tanggungjawab menguruskan restoran tersebut kepada pekerjanya.
Malah, beliau juga sanggup meninggalkan isteri dan empat anaknya bagi memenuhi keinginannya untuk melihat dunia dan mencipta sejarah.
"Jiwa kembara yang ada dalam diri saya telah membawa saya menjelajah banyak tempat termasuk mendaki gunung dan berkayak di sungai serta laut.
"Sekiranya anda mempunyai cita-cita dan sanggup berusaha untuk mencapainya, maka anda juga boleh mencipta sejarah," kata lelaki itu sambil menunjukkan sebuah bunting yang tertera mesej misi mereka.
Ditanya bagaimana mereka mampu mengekalkan stamina yang tinggi, kedua-dua lelaki itu mengakui latihan mengayuh basikal yang banyak, tidur yang mencukupi dan pengambilan makanan berkhasiat banyak membantu.
Mereka juga sanggup mengeluarkan belanja sendiri kira-kira AS$10,000 (RM34,245) bagi menjayakan misi ini.
Layanan baik di Malaysia
“KEADAAN lebuh raya di Malaysia yang bercerun mencabar kredibiliti dan kapasiti kami sebagai pengayuh profesional selama 10 tahun di Iran.”
Demikian luah dua warga Iran yang sedang dalam misi mengelilingi dunia dengan berbasikal. Harapan mereka misi tersebut dapat menyebarkan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kepentingan hak asasi kanak-kanak dan penyakit kanser.
Abdollah dan Keramat ditemui Kosmo! selepas berjaya mengharung perjalanan selama 10 hari dari bandar Bangkok dan Hatyai, sebelum menjejaki Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam di Kedah, diikuti Perak, Selangor dan Kuala Lumpur pada minggu lalu.
“Keadaan cuaca tidak diduga, kadangkala panas terik dan hujan lebat. Memang cuaca mencabar
kami tetapi kami sanggup menghadapinya.
“Sepanjang berada di Kuala Lumpur, kami singgah di beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan kawasan tumpuan umum untuk mengedarkan risalah berhubung hak asasi kanak-kanak dan kesedaran penyakit kanser,” kata Abdollah.

"SEMPAT singgah di Grand Palace di Bangkok, Thailand."



Jika sebelum ini bagi memudahkan memperoleh makanan halal, mereka membawa makanan segera dalam bentuk bijirin sebagai bekalan, tetapi di ibu kota Malaysia, mereka berpeluang menikmati pelbagai hidangan lazat.
“Kami menerima layanan yang baik daripada penduduk tempatan sehinggakan ada di antara mereka membelikan makanan tambahan untuk kami.
“Pelajar universiti pula menyediakan tempat penginapan di kampus masing-masing sebagai tanda penghargaan.
“Sokongan ini menyuntik semangat baru kepada kami untuk terus berjuang dalam menjayakan misi ini,” tambah Keramat yang kagum dengan layanan mesra dan hospitaliti penduduk Malaysia.